Sunday, December 21, 2014

Pengenalan Silat Gerak Semulajadi (Bahagian 3) - Siapa Anak Murid Silat Kedua Imam Abu ?



Salam Semulajadi,

Pasti anda rasa pelik kenapa saya memberi salam semulajadi.

Perkataan ‘semulajadi’ ini sebenarnya amat penting bagi setiap manusia.. ya termasuk anda dan saya.

Semulajadi kita sebagai manusia kepada manusia. Semulajadi kita sebagai manusia kepada seluruh alam dan semulajadi kita sebagai manusia kepada TuhanNYA. Sesiapa yang mengenal semulajadi dirinya maka mudah untuknya mengenal siapa PenciptaNYA.

Baiklah… saya ingin terus ke sambungan pengenalan Silat Gerak Semulajadi.


Anak Murid Kedua Imam Abu

Dalam perkongsian di bahagian #2 Pengenalan Silat Gerak Semulajadi saya ada kongsikan tentang anak murid pertama yang belajar silat dengan Aruwah Imam Abu. Seorang Pendekar DiRaja juga guru silat yang akhirnya menjadi anak murid kepada Imam Abu selepas tewas kepada Imam Abu.

Kepada anda yang belum membaca kisah peraduan bersilat antara Imam Abu dan pendekar tersebut boleh baca di sini… http://silatgeraksemulajadi.blogspot.com/2014/12/pengenalan-silat-gerak-semulajadi_18.html

Itu anak murid pertama dan saya ada nyatakan yang Imam Abu ini hanya mempunyai 2 orang anak murid silatnya.

Siapa seorang lagi ?

Anak murid silat kedua kepada Imam Abu ini berkemungkinan besar hanya dikenali oleh orang-orang lama sahaja kerana beliau ini tidak membuka gelanggang dan hanya mengajarkan silat yang beliau pelajari terus dari Imam Abu kepada ahli keluarganya sahaja.

Pihak Admin diberitahu bahawa beliau dikenali sebagai Yusof Binu atau juga digelar Usop 3 sen yang berasal dari Kampung Sungai Machang Ulu, Lenggeng. (Mohon sedekahkan fatihah kepada aruwah).

Beliau banyak merantau bekerja di luar. Beliau pernah bekerja di Keretapi Tanah Melayu, Polis Diraja Malaysia, menjadi pemandu dan bermacam-macam lagi.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini bahawa beliau tidak mempunyai gelanggang dan anak-anak muridnya hanyalah dikalangan ahli keluarga sahaja. Salah seorang dari anak muridnya bernama ialah Mohd Diah Hassan yang pernah membuka gelanggang di Sg Machang Hulu dan Gombak Batu 6 3/4.

Admin juga dinyatakan bahawa pewaris silat yang di ajar oleh Aruwah Yusuf Binu ini masih lagi hidup termasuklah Mohd Diah Hassan dan salah seorangnya adalah anak kepada Aruwah Yusuf Binu.

Siapakah anak Aruwah Yusuf Binu ini ?

 Adakah kita masih boleh berjumpa dengannya ?

Bagi Admin kepada anak-anak jati Lenggeng adalah sesuatu yang merugikan jika pewaris-pewaris silat Imam Abu atau Silat Semulajadi ini tidak kita jumpa dan pelajari silat warisan orang Lenggeng dari mereka dan perlu diingat usia mereka juga semakin meningkat.


Semulajadi Manusia Terhadap Silat



Salam Semulajadi,

Perkataan fitrah merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab iaitu fatara.

Menurut Kamus Dewan (1998), istilah fitrah ditakrifkan sebagai sifat semula jadi dan bagi manusia pula sifat semulajadinya merupakan dorongan atau pembawaan yang ada pada setiap manusia.

Apakah dorongan atau pembawaan ini ?

Ianya adalah bakat atau potensi semula jadi samada secara fizikal, mental atau kerohanian yang azalinya ada dalam diri setiap manusia sejak ia dilahirkan malah boleh juga dikatakan ianya adalah ketetapan yang telah ditentukan mengikut setiap insan sebelum ia dilahirkan lagi.

Fitrah atau semulajadi manusia ini boleh dikategorikan kepada dua :

Kategori #1 - Kejasmanian, kebendaan dan keduniaan.
Kategori #2 - Kerohanian, keakhiratan dan ketuhanan.

Boleh dikatakan setiap manusia yang dilahirkan mempunyai keunikan yang tersendiri dan ia meliputi semua bidang kehidupan. Keunikan semulajadi setiap manusia ini juga dikenali sebagai POTENSI DIRI.

Potensi diri manusia ini merangkupi semua bidang yang ada kaitan dengan manusia.

Orang Minangkabau percaya bahawa secara semulajadinya silat sudah ada dalam diri manusia.  

Buktinya cuba anda mengangkat tangan seperti mahu menampar seseorang (tapi jangan tampar betul-betul ya ) dan lakukannya pada rakan anda. Pasti akan ada reaksi atau tindak balas dari rakan anda itu.

Mungkin ia akan cuba angkat tangan menutup muka atau cuba mengelak atau mungkin akan cuba untuk serang balas. Nah… inilah dia silat. Sifat semulajadi manusia yang akan bertindak balas ke atas situasi atau apa sahaja perkara yang dihadapinya.

Jika dalam diri sudah ada silat secara semulajadinya kenapa perlu belajar silat ?

Kita perlu cungkil sifat semulajadi kita. Kita perlu kenal ia. Kita perlu tahu potensinya dan apabila ini dapat kita lakukan maka kita boleh menggunakannya dan mengawalnya untuk kita lakukan sesuatu yang baik. Dalam Islam kita perlu lakukan amar maaruf nahi mungkar.

Ini termasuklah silat dalam diri. Kita kena cungkil dan kenal semulajadi silat yang ada dalam diri kita. Kita perlu aktifkannya dengan pembelajaran dan latihan yang ada dalam setiap perguruan silat.  Bila kita sudah boleh mengawal silat kita maka kita boleh gunakannya bukan sekadar untuk diri kita malah untuk keluarga, bangsa, negara dan agama.


Percayalah dalam setiap diri manusia itu ada silatnya dan ini termasuklah diri anda itu walaupun ada diantara kita yang dilahirkan dalam keadaan cacat atau kurang upaya secara fizikalnya.

Thursday, December 18, 2014

Pengenalan Silat Gerak Semulajadi (Bahagian 2)



Salam Semulajadi,

Islam menyarankan agar hamba-hamba Allah yang beriman untuk kembali kepada fitrahnya. 

Apa maksud kembali kepada fitrah ?

Fitrah inilah SEMULAJADI kita. Semulajadi kita sebagai manusia. Semulajadi kita sebagai hambaNYA dan ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al'Araf ayat 172.




Jika ingin dikupas memang amat luas maksud kembali kepada fitrah ini. Insyaa Allah ini akan kita bincang sama-sama dengan lebih lanjut dalam perkongsian dimasa yang lain.

Kali ini saya ingin sambung tentang perkongsian saya yang lepas tentang sejarah tertubuhnya kumpulan Silat Gerak Semulajadi. Perlu saya ingatkan Silat Gerak Semulajadi ini adalah satu cabang silat dari Perguruan Seni Silat Semulajadi yang bukan sahaja bergiat aktif malah amat terkenal di sekitar Negeri Sembilan serta Selangor pada sekitar tahun 70’an.

Silat Semulajadi bermula dari Almarhum Imam Abu dari Minangkabau. Tidak banyak yang Admin tahu tentang Imam Abu cuma mendengar dari mulut Tuo Silek Semulajadi.

Diceritakan kepada Admin bahawa Imam Abu ini tidak mengajar silat secara terbuka dan beliau hanya mempunyai dua orang murid. Anak murid yang pertama (tidak diketahui namanya) merupakan seorang guru silat kampung sedia ada di Lenggeng.

Guru silat ini yang mengetahui tentang ilmu persilatan yang ada pada Imam Abu maka telah mencabar Imam Abu untuk beradu silat. Dikisahkan lagi pertandingan tersebut diadakan di atas sebatang titi batang kelapa yang merentang sungai. 

Guru silat yang mencabar Imam Abu akhirnya tewas apabila beliau terjatuh ke dalam sungai. Diceritakan juga bahawa pertandingan ini tiada saksi yang melihatnya. Guru silat itu dikatakan merupakan seorang pendekar istana.

Atas ketewasan guru silat tersebut maka ia berguru terus dengan Imam Abu dan beliau telah mengembang ilmu silat dengan menggabungkan silat sedia ada dengan silat Imam Abu.

Jadi siapakah anak murid kedua Imam Abu ?

Monday, December 15, 2014

Persembahan Pencak : Kenduri Kahwin Di Rumah Tuan Nazir Masjid Kariah Kampung Sungai Jai (En Hamzah) 14 Disember 2014



Persembahan Pencak dari pesilat muda :

1) Pesilat Muda Haikal
2) Pesilat Muda Fauzi
3) Pesilat Muda Syahiqmal
4) Pesilat Muda Ikmal (Angah)


Mohon tinggalkan komen anda di bawah  .

Sunday, December 14, 2014

Pengenalan Silat Gerak Semulajadi (Bahagian 1)



Silat Gerak Semulajadi ditubuhkan atas dasar kesedaran seorang anak muda dari Kampung Sungai Jai, Lenggeng , Negeri Sembilan setelah silat yang pernah beliau pelajari ketika beliau remaja iaitu Silat Semulajadi hampir pupus di muka bumi Lenggeng itu sendiri.

Silat Semulajadi merupakan warisan orang Lenggeng dan menurut ceritanya silat ini asalnya dari seorang imam dari Minangkabau yang bernama Imam Abu yang datang ke daerah Lenggeng, Negeri Sembilan.

Sebelum Silat Semulajadi itu dinamakan dengan nama tersebut ianya dipanggil Silek Imam Abu.

Silat Semulajadi kini tidak lagi diajarkan kepada warga Lenggeng kerana pewaris-pewaris silat ini sudah tidak ramai dan mereka hanya mengajarkannya kepada waris serta ahli keluarga sahaja.

Atas kesedaran dan kebimbangan pemuda tersebut maka telah memberanikan diri untuk mengembangkan silat ini walaupun beliau tahu ilmu persilatannya tidak begitu tinggi.

Namun beliau tidak menggunakan nama Silat Semulajadi tetapi dengan nama Silat Gerak Semulajadi.

Dalam perkongsian-perkongsian yang akan datang saya akan kongsikan sejarah selanjutnya Silat Gerak Semulajadi ini yang berpunca dari Silek Imam Abu serta Silat Semulajadi. Nantikan ya...


**********************************************************************
Mohon tinggalkan komen anda di bawah

Selamat Datang

Assalamualaikum,

Selamat datang diucapkan kepada anda yang melawat dan membaca blog ini. Blog ini merupakan satu blog yang dibina khusus bagi memperkenalkan Perguruan Silat Gerak Semulajadi.