Thursday, February 19, 2015

Silat Itu SILAP !!!




Salam semulajadi,



Dalam post yang lepas saya ada tuliskan tentang ‘Apa Makna Silat ?’

Salah satu perkara yang saya sentuh adalah Silat itu SILAP. Apa silapnya silat ini ?

Silat tiada silapnya kerana yang silap adalah diri kita dan diri kita yang sering silap ini pula bersilat.

Dalam latihan silat selalunya setiap gerakan kita bukan sahaja akan diperhatikan guru secara berdepan malah kita juga akan berlatih bersama rakan regu kita.

Dalam latihan inilah kita akan cuba mencari kesilapan-kesilapan dalam setiap gerak dan dari kesilapan ini maka perbetulkan mahupun dibuang gerekan yang ada silapnya.

Contohnya dalam Silat Gerak Semulajadi tidak ditekankan untuk menyepak terutamanya menyepak tinggi.

Kenapa  ?

Bukan bermaksud menyepak itu tidak bagus dan mana-mana perguruan silat yang mengamalkan sepakan juga tidak bagus. Bukan begitu.

Pada pandangan dan pendapat SGS sepakan tinggi akan menyebabkan badan tidak seimbang dan mudah untuk jatuh. Yang menanti serangan sepakan mempunyai kelebihan dari yang menyepak.

Namun begitu perlu ingat siapa yang cekap dan cepat dia yang menang dan walaupun yang menanti serangan kaki itu mempunyai kelebihan tetapi tidak cekap serta cepat maka makan penyepak jawabnya.

Mungin contoh lain ada bahagian-bahagian yang terbuka yang boleh diserang lawan seperti bahagaian kemaluan, bahagian rusuk dan banyak lagi tempat-tempat bahaya.

Kerja pelajar silat adalah bukan sekadar berlatih tetapi mengkaji bagaimana untuk mengatasi kesilapan-kesilapan ini.



Silat Itu Silat Lwn Kehidupan


Kita ini hidup penuh dengan kesilapan. Setiap saat pasti ada kesilapan yang kita lakukan.

Pesilat memerlukan Guru serta rakan sepersilatan bagi memudahkan ia untuk mencari apa silapnya dalam gerak silat.

Dalam hidup ini itu juga yang kita perlukan. Kita perlukan seorang MENTOR yang boleh member tunjuk ajar, nasihat , peringatan juga yang boleh membetulkan kita bila mana kita tersasar dari landasan kita.

Kita pun boleh lihat sendiri apa silap kita. Kita muhasabah diri kita. Ini perlukan IKHLAS dalam diri. Ikhlas nak tahu apa silap kita dan hati terbuka mengaku apa silap kita serta mempunyai keinginan yang tinggi untuk menjadi lebih baik.

Itulah silat. Jika si pesilat berjaya membetul dan menghindar keSILAPan beliau maka silatnya juga bakal memiliki sedikit SILAP sahaja.

Manusia itu lemah dan seringkali melakukan keSILAPan. Itulah diri kita.

Sebelum kita tunjuk silap orang lain maka carilah dahulu silap diri sendiri.




…………………………….

Jika anda rasa perkongsian di atas boleh beri manfaat kepada diri anda mahupun orang lain maka mohon ‘share’ ya.

Saturday, February 7, 2015

Apa Makna SILAT ???



Bila kita tanya diri kita apa itu SILAT sudah pasti kita jawab yang silat itu adalah seni mempertahankan diri orang Melayu.

Silat dan Melayu seolah-olah tidak boleh dipisahkan dan di Malaysia ini Melayu dan Islam juga tidak boleh dipisahkan.

Bagi seni beladiri yang ada di muka bumi ini rata-rata nama setiap senibeladiri mempunyai makna. Contohnya :

Kung Fu bermaksud pencapaian seorang lelaki. Ini kerana ianya bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai tahap kemahairan Kung Fu yang tinggi.

Karate Do bermaksud cara pertahan diri tangan kosong.

Aikido pula bermaksud mengharmonikan tenaga.

Banyak lagi dan setiapnya ada maksud yang hendak disampaikan.

Dari mana datangnya perkataan SILAT itu sendiri ? 

Penulis tiada jawapan tepat namun penulis ada melakukan pertanyaan ke atas beberapa orang lama dalam silat. Menurut mereka ada banyak pendapat mana datangnya perkataan silat dan antaranya :

1) Silat itu datangnya dari perkataan SILATURRAHIM dimana dengan bersilat kita mencari ramai kawan dan hubungan yang akrab akan terjalin sewaktu latihan silat dijalankan.

Bagi orang Minangkabau bila sebut belajar silat bermaksud “ Zahir mencari teman batin mencari Tuhan”

2) Silat itu SILAU. Apabila kita silau maka kita tidak perasan atau tidak nampak apa yang kita pandang dihadapan.

Dalam kehidupan dunia kita sering disilaukan sehingga yang hakikat tidak kita nampak atas kerana tipu muslihat syaitan dan dunia.

Dalam silat maka kita akan dibantu melalui pembelajaran dan latihan untuk tidak terkesan dengan silauan kehidupan dunia ini.

3) Silat itu SILAP. Kita ini hidup penuh dengan kesilapan dan dalam latihan silat kita akan belajar dan berlatih untuk mencari dan menghindar segala kesilapan dan kekurangan diri untuk diperbaiki.

4) Ada juga pendapat mengatakan Silat itu SOLAT. Jika kita belajar silat bermakna kita akan belajar falsafah dalam solat. Ini kerana dalam solat itu mengandungi pelbagai ilmu yang boleh dicungkil seperti:

  • Penggantungan dan penyerahan diri kepada Tuhan.
  • Bersedia
  • Tertib dan displin
  • Taat
  • Fokus
  • Dan banyak lagi pelajaran yang boleh ditimba.

  
5) Sememangnya penulis tidak pasti apakah kesahihan atau kebenaran dari apa yang telah penulis kongsikan di atas.


Apa pun pada pendapat penulis ianya tidak salah jika ia membawa kebaikan kepada pembelajaran dan pengembangan silat itu sendiri juga kepada yang mempelajari silat agar menjadi insane yang lebih baik .
Wallahu 'alam.

Sunday, January 18, 2015

Ilmu Silat Ada Unsur Syirik ???




“Saya tak mahu belajar silatlah bang. Silat ni banyak guna ilmu-ilmu sesat. Mandi limaulah, mandi minyaklah, ilmu keballah, macam-macam lagilah.” 


Atas kerana persepsi serong inilah yang menyebabkan ramai orang Melayu tidak mempelajari SILAT yang merupakan warisan orang Melayu itu sendiri.

Jika orang seorang pmuda Melayu Minangkabau terdahulu yang ingin merantau harus memiliki ilmu silat terlebih dahulu disamping ilmu agama dan ilmu memasak. Ilmu silat merupakan perkara yang wajib ada pada setiap pemuda Melayu Minangkabau.

Ada ketikanya pengamal silat seperti kami berasa hampa kerana sukar untuk mengajak pemuda-pemuda Melayu terutamanya di kawasan desa untuk belajar silat.

Seringkali dibanding-bandingkan silat ini dengan seni mempertahankan diri dari luar negara. Malah ada juga yang mengatakan…

"Lebih baik belajar  _ _ _ _ do  sebab tak de benda-benda syirik dan ajaran sesat macam silat tu..."


Memang tidak dinafikan ada sesetengah perguruan silat ada mengamalkan ilmu-ilmu yang bersahabat dengan JIN sehingga seseorang pesilat itu mampu melakukan sesuatu yang luar biasa yang tidak mampu dilakukan oleh insan biasa.

Namun begitu banyak juga perguruan yang menolak ilmu-ilmu sebegini dan ini termasuk kami di Silat Gerak Semulajadi.


Seni Mempertahankan Diri Luar Juga Ada Unsur Kesyirikan

Penulis disamping mempelajari dan mengamal silat pernah juga mempelajari senibeladiri dari luar. Maaf tidak dapat nayatakan nama seni mempertahankan diri tersebut cuma apa yang hendak penulis kongsikan dimana penulis terpaksa mengikut mereka yang sama-sama belajar untuk tunduk hormat seperti sujud kepada gambar mendiang pengasas seni mempertahankan diri tersebut.

Penulis ada bertanyakan hal tersebut kepada bebrapa orang tua dan mereka menyatakan tidak ada masalah tetapi yang penting niat. Namun penulis rasa tidak sedap hati dan berhenti belajar.

Seorang tua yang merupakan pengamal silat pernah bercerita kepada penulis yang beliau pernah belajar satu seni mempertahankan diri dari seorang Hindu yang mengajar beliau teknik menggunakan tongkat panjang. Sebelum memulakan latihan beliau di suruh untuk sembah busut.

Selain itu ada juga yang akan tunduk sembah kepada matahari, dan pengambilan bahan-bahan yang diharamkan dalam Islam serta mengamalkan petua-petua yang secara jelas mengingkari akidah islamiah.

Selain itu, ada juga seni mempertahankan diri, membutakan penglihatan-penglihatan para pelajarnya dengan mempamerkan sesuatu yang diluar batas kemampuan manusia.

Jika masih ada yang menghukum bahawa SILAT itu ajaran sesat maka mohon kaji seni mempertahan diri yang lain juga.


Penulis Memilih Silat

Setakat ini penulis pernah berada di dalam dua jenis gelanggang silat dan kedua-duanya akan memulakan latihan silat dengan selawat, bacaan surah fatihah, surah al-ikhlas serta doa untuk kesalamatan.

Selain dari itu bagi penulis silat merupakan warisan orang Melayu yang perlu diwarisi oleh orang Melayu  dan hubungan antara silat dan agama amat dekat. Ini merupakan hasil kerja ulama’-ulama’ terdahulu yang telah mengISLAMkan pembelajaran ilmu silat.

Silat adalah sebuah seni mempertahankan diri yang lahir dari kehebatan dan kepahlawanan ulama-ulama serta panglima-panglima Melayu dahulu.

Sejarah mencatatkan bagaimana, ketangkasan dan kehebatan 5 orang sahabat semasa pemerintahan Melaka, berjaya menjulang nama Melaka sebagai sebuah kerajaan yang aman dan harmoni. Kemudian, seni mempertahankan diri itu mengalami revolusi selari dengan perubahan masa, zaman dan keadaan setempat.


Apa pandangan anda pula ? Sila tinggalkan komen ya.

Wednesday, January 14, 2015

Gerakan Haiwan VS Gerakan Manusia (Bahagian 2) - MengINSANkan Gerakan Haiwan



Salam Semulajadi,

Post kali ini saya ingin menyambung artikel saya yang lepas tentang gerakan silat yang diilhamkan dari gerakan haiwan atau manusia. Saya ingin mengutarakan pendapat Silat Gerak Semulajadi (SGS) tentang perkara ini.

Untuk membaca bahagian pertama boleh baca di link ini :



MengINSANkan Gerakan Haiwan


Seperti yang dinyatakan dalam artikel yang ditulis bahagian 1 saya ada nyatakan tentang pendapat Silat Gerak Semulajadi (SGS) tentang perkara ini. Walaupun SGS geraknya diilhamkan dari gerakan bayi yang baru lahir (fitrah manusia) ia tidak menolak gerakan-gerakan yang diilhamkan dari haiwan terutamanya harimau.

Kenapa ? 

Pada SGS ilham gerakan haiwan bukanlah menjadi haiwan tetapi hanya mengilhamkan gerakan haiwan untuk diadaptasikan dalam gerakan silat.

Namun jangan salah faham kerana kajian SGS tetap menutamakan gerakan bayi yang baru lahir (fitrah manusia) sebagai kajian ke atas gerakannya.



1) Ilham gerakan haiwan ini pula perlulah diinsankan agar sesuai dengan gerakan kita manusia.

Contohnya :

Sang Harimau akan menyerang dan membaham bahagian kepala dan leher mangsa dahulu sebelum menewaskannya dan bila diinsankan gerakan dan tindakan ini dalam kajian SGS keseimbangan manusia terletak pada bahagian kepala dan jika kita mampu mengganggu bahagian ini mamak keseimbangan manusia akan hilang.

Apabila hilang keseimbangan maka sebesar atau seberat mana pun badan manusia ia mudah untuk dijatuhkan.

Kita tidak perlu membaham kepala manusia sepertimana harimau dan cukuplah dengan menggunakan tangan untuk melakukannya. Inilah maksudnya menginsankan gerakan haiwan.


2) Mengilhamkan semangat haiwan tertentu agar kita juga bersemangat tinggi dalam perjuangan kita.

 Tidak semua haiwan dijadikan sebagai ilham gerakan dan haiwan-haiwan tertentu seperti :

  • Naga
  • Harimau
  • Burung Rajawali
  • Dan yang sewaktu dengannya
...dijadikan sebagai ilham. Selain dari gerakan semangat juang serta perasaan berani juga dijadikan sebagai ilham.

Kita mungkin tidak pernah melihat naga secara 'real' dan mungkin sukar untuk betul-betul membayangkan semangat naga.

Akan tetapi kita biasa melihat harimau dan ngaumannya sahaja sudah mampu menggoncang dada kita. Semangat harimau ketika bertarung juga amat hebat.

Keberanian sahabat nabi SAW yang juga bapa saudara baginda , Saidina Hamzah R.A. amat tinggi sehingga beliau digelar dengan gelaran ‘Singa Allah’.

Salah seorang sahabat nabi pedang yang dimilikinya mempunyai lakaran naga dan singa.


Semangat haiwan bukanlah bermakna kita akan menjadi haiwan seperti yang dinyatakan tetapi berinspirasikan semangat tersebut menjadikan seseorang pesilat itu lebih gagah dan berani bila mana ianya diperlukan.

Anda pula bagimana ? Apa pendapat anda ? Sila tinggalkan komen ya :)



Thursday, January 1, 2015

Gerakan Haiwan VS Gerakan Manusia (Bahagian 1)



Salam Semulajadi,

Rasanya anda pun tahu bukan sekadar di Malaysia sahaja malah di seluruh dunia terdapat beribu aliran seni pertahan diri.

Pelbagai teknik serta gaya dibawa setiap aliran seni pertahankan diri. Ada aliran seni mempertahankan diri yang mendakwa bahawa gerakan seni pertahankan diri mereka diilhamkan dari gerakan haiwan tertentu dan ada pula yang mendakwa membawa aliran yang diilhamkan dari gerakan manusia.

Perkara ini juga tidak lari dari dunia persilatan. Antara haiwan-haiwan yang menjadi ilham kepada gerakan perguruan silat adalah seperti :
  • Harimau
  • Kucing liar
  • Burung Rajawali
  • Buaya
  • Monyet
  • Dan sebagainya


Perguruan silat yang menggunakan gerakan manusia seperti :

  • Gerakan tangan, kaki serta badan
  • Gerakan manusia berjalan, melompat serta berdiri
  • Gerakan manusia duduk
  • Dan sebagainya


Malah ada juga yang menggunakan gerakan dalam solat sebagai ilham kepada gerakan silat mereka.

Persoalannya sekarang gerakan manakah yang lebih baik ?
Adakah ilham dari gerakan haiwan atau gerakan semulajadi manusia ?

Ini merupakan persoalan serta isu yang amat sensitive.

Silat Gerak Semulajadi sendiri mengilhamkan gerakan semulajadi manusia sebagai gerakan silatnya. Bukan sekadar gerakan manusia malah lebih tepat lagi gerakan bayi yang baru lahir. Sukar untuk diterangkan tetapi untuk mengetahuinya perlulah mempelajarinya terus dari gurunya.

Kenapa Silat Gerak Semulajadi memilih gerakan semulajadi manusia sebagai gerakan silatnya ? Adakah gerakan haiwan tidak sesuai untuk digunakan ?


Pendapat Silat Gerak Semulajadi

Bagi aliran Silat Gerak Semulajadi berpendapat gerakan semulajadi manusia merupakan gerakan yang terbaik untuk diilhamkan sebagai gerakan silat namun begitu ia tidak menolak terus gerakan dari haiwan ini.

Contohnya ada aliran silat yang menggunakan gerakan harimau salah satu gerakannya adalah menyerang bahagian kepala dan leher seperti mana Sang Harimau menyerang mangsanya.

Bagi Silat Gerak Semulajadi bahagian kepala dan leher juga menjadi sasaran lawannya kerana bahagian ini merupakan bahagian yang mudah untuk menghilangkan keseimbangan manusia dan di bahagian ini juga terletaknya banyak titik sakit dan titik maut.


Nantikan sambungannya… sementara itu berikan pendapat anda di bawah ya.