Saturday, February 7, 2015

Apa Makna SILAT ???



Bila kita tanya diri kita apa itu SILAT sudah pasti kita jawab yang silat itu adalah seni mempertahankan diri orang Melayu.

Silat dan Melayu seolah-olah tidak boleh dipisahkan dan di Malaysia ini Melayu dan Islam juga tidak boleh dipisahkan.

Bagi seni beladiri yang ada di muka bumi ini rata-rata nama setiap senibeladiri mempunyai makna. Contohnya :

Kung Fu bermaksud pencapaian seorang lelaki. Ini kerana ianya bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai tahap kemahairan Kung Fu yang tinggi.

Karate Do bermaksud cara pertahan diri tangan kosong.

Aikido pula bermaksud mengharmonikan tenaga.

Banyak lagi dan setiapnya ada maksud yang hendak disampaikan.

Dari mana datangnya perkataan SILAT itu sendiri ? 

Penulis tiada jawapan tepat namun penulis ada melakukan pertanyaan ke atas beberapa orang lama dalam silat. Menurut mereka ada banyak pendapat mana datangnya perkataan silat dan antaranya :

1) Silat itu datangnya dari perkataan SILATURRAHIM dimana dengan bersilat kita mencari ramai kawan dan hubungan yang akrab akan terjalin sewaktu latihan silat dijalankan.

Bagi orang Minangkabau bila sebut belajar silat bermaksud “ Zahir mencari teman batin mencari Tuhan”

2) Silat itu SILAU. Apabila kita silau maka kita tidak perasan atau tidak nampak apa yang kita pandang dihadapan.

Dalam kehidupan dunia kita sering disilaukan sehingga yang hakikat tidak kita nampak atas kerana tipu muslihat syaitan dan dunia.

Dalam silat maka kita akan dibantu melalui pembelajaran dan latihan untuk tidak terkesan dengan silauan kehidupan dunia ini.

3) Silat itu SILAP. Kita ini hidup penuh dengan kesilapan dan dalam latihan silat kita akan belajar dan berlatih untuk mencari dan menghindar segala kesilapan dan kekurangan diri untuk diperbaiki.

4) Ada juga pendapat mengatakan Silat itu SOLAT. Jika kita belajar silat bermakna kita akan belajar falsafah dalam solat. Ini kerana dalam solat itu mengandungi pelbagai ilmu yang boleh dicungkil seperti:

  • Penggantungan dan penyerahan diri kepada Tuhan.
  • Bersedia
  • Tertib dan displin
  • Taat
  • Fokus
  • Dan banyak lagi pelajaran yang boleh ditimba.

  
5) Sememangnya penulis tidak pasti apakah kesahihan atau kebenaran dari apa yang telah penulis kongsikan di atas.


Apa pun pada pendapat penulis ianya tidak salah jika ia membawa kebaikan kepada pembelajaran dan pengembangan silat itu sendiri juga kepada yang mempelajari silat agar menjadi insane yang lebih baik .
Wallahu 'alam.

3 comments: