Thursday, February 19, 2015

Silat Itu SILAP !!!




Salam semulajadi,



Dalam post yang lepas saya ada tuliskan tentang ‘Apa Makna Silat ?’

Salah satu perkara yang saya sentuh adalah Silat itu SILAP. Apa silapnya silat ini ?

Silat tiada silapnya kerana yang silap adalah diri kita dan diri kita yang sering silap ini pula bersilat.

Dalam latihan silat selalunya setiap gerakan kita bukan sahaja akan diperhatikan guru secara berdepan malah kita juga akan berlatih bersama rakan regu kita.

Dalam latihan inilah kita akan cuba mencari kesilapan-kesilapan dalam setiap gerak dan dari kesilapan ini maka perbetulkan mahupun dibuang gerekan yang ada silapnya.

Contohnya dalam Silat Gerak Semulajadi tidak ditekankan untuk menyepak terutamanya menyepak tinggi.

Kenapa  ?

Bukan bermaksud menyepak itu tidak bagus dan mana-mana perguruan silat yang mengamalkan sepakan juga tidak bagus. Bukan begitu.

Pada pandangan dan pendapat SGS sepakan tinggi akan menyebabkan badan tidak seimbang dan mudah untuk jatuh. Yang menanti serangan sepakan mempunyai kelebihan dari yang menyepak.

Namun begitu perlu ingat siapa yang cekap dan cepat dia yang menang dan walaupun yang menanti serangan kaki itu mempunyai kelebihan tetapi tidak cekap serta cepat maka makan penyepak jawabnya.

Mungin contoh lain ada bahagian-bahagian yang terbuka yang boleh diserang lawan seperti bahagaian kemaluan, bahagian rusuk dan banyak lagi tempat-tempat bahaya.

Kerja pelajar silat adalah bukan sekadar berlatih tetapi mengkaji bagaimana untuk mengatasi kesilapan-kesilapan ini.



Silat Itu Silat Lwn Kehidupan


Kita ini hidup penuh dengan kesilapan. Setiap saat pasti ada kesilapan yang kita lakukan.

Pesilat memerlukan Guru serta rakan sepersilatan bagi memudahkan ia untuk mencari apa silapnya dalam gerak silat.

Dalam hidup ini itu juga yang kita perlukan. Kita perlukan seorang MENTOR yang boleh member tunjuk ajar, nasihat , peringatan juga yang boleh membetulkan kita bila mana kita tersasar dari landasan kita.

Kita pun boleh lihat sendiri apa silap kita. Kita muhasabah diri kita. Ini perlukan IKHLAS dalam diri. Ikhlas nak tahu apa silap kita dan hati terbuka mengaku apa silap kita serta mempunyai keinginan yang tinggi untuk menjadi lebih baik.

Itulah silat. Jika si pesilat berjaya membetul dan menghindar keSILAPan beliau maka silatnya juga bakal memiliki sedikit SILAP sahaja.

Manusia itu lemah dan seringkali melakukan keSILAPan. Itulah diri kita.

Sebelum kita tunjuk silap orang lain maka carilah dahulu silap diri sendiri.




…………………………….

Jika anda rasa perkongsian di atas boleh beri manfaat kepada diri anda mahupun orang lain maka mohon ‘share’ ya.

Saturday, February 7, 2015

Apa Makna SILAT ???



Bila kita tanya diri kita apa itu SILAT sudah pasti kita jawab yang silat itu adalah seni mempertahankan diri orang Melayu.

Silat dan Melayu seolah-olah tidak boleh dipisahkan dan di Malaysia ini Melayu dan Islam juga tidak boleh dipisahkan.

Bagi seni beladiri yang ada di muka bumi ini rata-rata nama setiap senibeladiri mempunyai makna. Contohnya :

Kung Fu bermaksud pencapaian seorang lelaki. Ini kerana ianya bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai tahap kemahairan Kung Fu yang tinggi.

Karate Do bermaksud cara pertahan diri tangan kosong.

Aikido pula bermaksud mengharmonikan tenaga.

Banyak lagi dan setiapnya ada maksud yang hendak disampaikan.

Dari mana datangnya perkataan SILAT itu sendiri ? 

Penulis tiada jawapan tepat namun penulis ada melakukan pertanyaan ke atas beberapa orang lama dalam silat. Menurut mereka ada banyak pendapat mana datangnya perkataan silat dan antaranya :

1) Silat itu datangnya dari perkataan SILATURRAHIM dimana dengan bersilat kita mencari ramai kawan dan hubungan yang akrab akan terjalin sewaktu latihan silat dijalankan.

Bagi orang Minangkabau bila sebut belajar silat bermaksud “ Zahir mencari teman batin mencari Tuhan”

2) Silat itu SILAU. Apabila kita silau maka kita tidak perasan atau tidak nampak apa yang kita pandang dihadapan.

Dalam kehidupan dunia kita sering disilaukan sehingga yang hakikat tidak kita nampak atas kerana tipu muslihat syaitan dan dunia.

Dalam silat maka kita akan dibantu melalui pembelajaran dan latihan untuk tidak terkesan dengan silauan kehidupan dunia ini.

3) Silat itu SILAP. Kita ini hidup penuh dengan kesilapan dan dalam latihan silat kita akan belajar dan berlatih untuk mencari dan menghindar segala kesilapan dan kekurangan diri untuk diperbaiki.

4) Ada juga pendapat mengatakan Silat itu SOLAT. Jika kita belajar silat bermakna kita akan belajar falsafah dalam solat. Ini kerana dalam solat itu mengandungi pelbagai ilmu yang boleh dicungkil seperti:

  • Penggantungan dan penyerahan diri kepada Tuhan.
  • Bersedia
  • Tertib dan displin
  • Taat
  • Fokus
  • Dan banyak lagi pelajaran yang boleh ditimba.

  
5) Sememangnya penulis tidak pasti apakah kesahihan atau kebenaran dari apa yang telah penulis kongsikan di atas.


Apa pun pada pendapat penulis ianya tidak salah jika ia membawa kebaikan kepada pembelajaran dan pengembangan silat itu sendiri juga kepada yang mempelajari silat agar menjadi insane yang lebih baik .
Wallahu 'alam.